Tuesday, August 3, 2010

PENGENALAN TEORI PEMBELAJARAN

Pembelajaran merupakan perkara penting dalam perkembangan manusia. Definisi pembelajaran ditakrifkan dengan makna yang berbeza bergantung kepada persepsi individu. Pembelajaran merupakan satu pemerolehan maklumat dan pengetahuan, penguasaan kemahiran dan tabiat serta pembentukan sikap dan kepercayaan, Lee Shok Mee (1993). Mengikut Kamus Dewan pula pembelajaran merupakan proses belajar. Bagi Goldenson (1984), pembelajaran ialah satu proses individu mendapatkan informasi-informasi, tingkah laku atau kebolehan yang baru. Namun begitu pembelajaran dalam konteks psikologi ditakrifkan sebagai perubahan ke atas tingkah laku individu yang dihasilkan oleh peristiwa-peritiwa alam sekitar, Carlson (1987). Pembelajaran berlaku sepanjang hayat dan tidak terbatas di dalam bilik darjah sahaja. Ia merangkumi penguasaan pengetahuan dan kemahiran, perkembangan sikap, emosi dan nilai estetika. Selain itu pembelajaran juga membawa kepada perubahan hasil interaksi dengan persekitaran.Selain dari itu, pembelajaran juga menghasilkan perubahan tingkah laku dari tahap yang rendah kepada tahap yang lebih tinggi dan perubahan yang berlaku ini juga merupakan satu perubahan yang kekal dan stabil. Berlaku secara berterusan, di mana ia akan berhenti apabila kehilangan motivasi atau motif pembelajaran yang sesuai. Tingkah laku yang dihasilkan melalui pembelajaran hasil daripada pengalaman dan latihan adalah dibentuk daripada proses pemikiran dan penanggapan. Ini bermaksud perubahan tingkah laku adalah hasil persepsi individu di mana persepsi tersebut timbul apabila individu memperoleh pengalaman atau latihan. Selain itu pembelajaran juga boleh berlaku secara formal iaitu peringkat sekolah, universiti dan sebagainya, secara tidak formal pula melalui persekitaran contohnya televisyen, asuhan ibubapa serta pergaulan dengan rakan-rakan dan yang terakhir ialah pembelajaran secara bukan formal iaitu kursus-kursus, bengkel-bengkel yang dilakukan diluar pembelajaran formal sebagai tambahan.


JENIS TEORI PEMBELAJARAN 
Teori pembelajaran merupakan prinsip dan hukum-hukum pembelajaran yang dihasilkan daripada kajian-kajian ahli psikologi pendidikan. Ia boleh dibahagikan kepada tiga teori utama iaitu teori pembelajaran behaviorisme, sosial dan kognitif. Idea-idea yang dibawa oleh tokoh-tokoh yang mempelopori setiap teori adalah berbeza.

1 comment: